Halaman

Selasa, 27 November 2012

Ujian Menelan Cinta


“KAU DIAM! Kau jangan bercakap walau sepatah pun! Aku benci kau! Aku benci! Keluar kau dari bilik ni, keluar!” Airin Natasya sudah menggila. Selama ini dia hanya menikus dengan lelaki di hadapannya itu, kali ini sudah tiada erti takut dengan lelaki itu.
            Zakriel pada masa itu cuma lebih selesa membisukan diri. Dia hanya mampu melihat tangis Airin Natasya. Dia akui memang salahnya. Kerana dendam, sakit hati dan bencinya kepada Airin Natasya telah menjerat dirinya sendiri. Walaupun rasa sesal kerana bertindak bodoh, rasa bencinya kepada Airin langsung tidak surut walau seinci. Wanita itu dibiarkan menangis di sudut biliknya. Langsung tidak terniat untuk memujuk. Kelakuan Airin pula tidak berubah, sejak selesai diijab kabulkan di surau tadi, dia tidak pernah berhenti menangis. Malah sikapnya makin menggila apabila melihat kelibat Zakriel. Kalau ikutkan kata hatinya, mahu saja ditikam-tikamnya tubuh lelaki itu. lelaki yang telah menggores dan merobek hatinya, mencalarkan maruahnya dan keluarganya. Mujur saja ayahnya dapat menerima kenyataan, rasa marah ayahnya tidak lama cuma rasa kecewa yang menikam.
            “Oi! Kau dengar ke tak? Hah?” lagak Airin sudah seperti kena rasuk. Tegak dia berdiri di penjuru bilik itu. jari telunjuknya menikam-nikam badan Zakriel dari jauh. Air matanya diseka kasar dengan belakang tapak tangan kirinya.