Halaman

Ahad, 10 Jun 2012

LUPUS SUDAH CINTA 2


MALAM itu aku berada di rumah orang tuaku. Sebenarnya aku ingin pulang sebentar tadi, cuma mama yang beria-ia melarangku pulang. Papa pula kurang bercakap sebentar tadi. Mungkin masih belum reda kemarahannya. Tuduhan yang papa lemparkan itu satu pun tidak mengena. Malah, jauh dari sasaran. Aku tidak menyalahkan papa atas tuduhannya itu. Mungkin memang salahku membuatkan perkara sebegitu kepada isteriku sendiri. Memang wajarlah aku mendapat andaian begitu. Tetapi, aku takkan lepaskan Ainnur melainkan sudah tidak ada jodoh antara kami.
            Tekakku tiba-tiba terasa dahaga pula, sudah tiga jam berlalu selepas aku makan malam dan merupakan kali terakhir aku minum. Biasanya pada waktu-waktu begini mudah saja aku terlelap, tetapi tidak malam ini. mungkin dengan malam seterusnya.
            Pintu bilikku aku buka perlahan-lahan dan penuh berhati-hati. Tidak mahu mengganggu orang tuaku yang mungkin saja sudah masuk tidur. Bilik kami berdepan, pastinya mereka akan terganggu jika aku terbuat onar tanpa sengaja. Aku melangkah seperti biasa turun ke bawah dengan kawalan kadar bunyi yang bakal dihasilkan. Lampu dapur sudah tertutup aku bukakan. Peti ais yang berdiri itu aku buka dan keluarkan sebotol air minum. Suara papa tiba-tiba memecah ruang kesunyian malam itu. Aku menutup semula botol air yang belum sempat aku isi ke dalam cawan yang kosong itu. Kemudian aku melangkah ke arah ruang tamu yang tertutup oleh tembok yang terbina di antara ruang makan dan ruang menonton itu. Sah! Memang papa dan mama yang ada di situ. Menonton telemovie Satu Permintaan lakonan Eja, Namron dan pelakon cilik, Mia Sara. Aku sudah menonton filem itu raya tahun lepas bersama-sama Ainnur.

Jumaat, 8 Jun 2012

LUPUS SUDAH CINTA


BERDERAU darahku dengan bersaksikan sepasang mataku ini. Aku mengetap bibir beserta dengan semarak api amarah di hati. Sungguh aku tidak percaya dengan apa yang aku lihat, kesakitan di hati memang sudah tidak dapat dibendung. Kalau ikutkan kata hati, ingin sahaja aku rempuh. Keberadaanku tidak mengizinkan kerana aku berada di tempat awam. Kehadiran Ghazali juga turut menghalangku daripada melakukan perkara itu. Larva gunung berapi hanya menanti saat untuk muntah. Sudah aku tidak dapat kawal lagi diriku.
            “Zeck, kita balik jom.” Ghazali cuba menarik tanganku.
            Aku menyentap kasar tanganku daripada terus menjadi mangsa genggaman Ghazali. “Aku tak puas hati selagi aku tak bantai muka lelaki tu.” Keras suaraku.
            “Kau jangan jadi bodoh Zeck. Kau kena tengok tempat.” Ghazali mengingatkanku.
            Jasadku terus ditarik mengikut langkah Ghazali. Itu tak bermakna amarahku kian pudar malah makin membara. Rasa sakit hati mula menyelubungi jiwaku. Betapa bodohnya aku dulu.
            “Aku nak ke office.” Tuturku.
            Ghazali hanya mengangguk. Kereta terus meluncur laju membelah jalan raya yang menyelimuti bumi.

TERHUYUNG-HAYANG aku berjalan. Sudah hilang keseimbangan diriku. Tidak tentu arah aku melangkah. Kepalaku sudah terasa sakit dan berat yang amat. Hanya ilusi yang bermain-main di mataku. Aku terus melangkah dan melangkah walaupun sudah berkali-kali aku terjelopok di tengah jalan. Arah tujuku tidak jelas ketika ini, arah rumahku pun sudah aku tidak tahu. Yng aku rasa saat ini aku gembira, gembira dan “GEMBIRA!” jeritku tanpa mempedulikan sesiapa yang memerhatikanku kemudian aku ketawa terbahak-bahak kerana merasai rasa bahagia itu cukup amat memenuhi ruang hatiku. Berkali-kali aku dihon oleh kereta yang lalu-lalang dijalan raya itu dan berkali-kali juga aku melemparkan makian dan kata-kata kesat kerana aku tidak suka diperlakukan sebegitu rupa.