Halaman

Jumaat, 27 Julai 2012

Cerpen : Kerana Aku Sayang

HATIKU berdebar-debar sejak semalam, malah debarnya tidak surut walau sedikit. Mataku juga enggan lelap sepanjang malam, hanya memikirkan hari ini. semua kerinduan telah aku kumpul selama bertahun-tahun. Kerinduan itu aku pendam sendiri, aku tidak zahirkannya kepada sesiapa pun termasuk isteriku.
Ego lelaki! Itu orang perempuan selalu kata kepada lelaki. Bagiku itu tidaklah ego. Tidak semua perasaan mesti diluahkan. Kadang-kadang perasaan rindu, kasih, sayang dan cinta perlu kita pendam sendiri untuk mencerminkan diri kita agar kita lebih menghargai rasa sementara itu.
“Ayah! Ibu!” bahuku terasa dicuit manja daripada belakang. Suara itu, milik puteriku, Iffah.
Aku tersenyum panjang. “Sampai pun.” Kataku berlagak selamba walaupun ada kegundahan melanda hati. Aku sebenarnya kaget melihat penampilan anakku. Sudah terbang tudungnya, sudah lari kain bajunya. Semuanya sempit-sempit sehingga menghimpit anak mataku. Cuma aku tahan dahulu, membiarkan kebahagiaan ini merawat rindu selama ini.
Pergi ke Amerika Syarikat budaya timur disanjung, pulang dari Amerika budaya barat pula dijunjung. Tanggapanku selama ini benar-benar terjadi. Kerisauanku selama ini sudah terjawab juga. Iffah memang tidak kuat pendirian dan jati dirinya. Inilah hasilnya selama bertahun-tahun aku merelakan pemergiannya ke bumi asing itu untuk menuntut ilmu, walaupun keputusannya sedikit pun tidak mengecewakan.

AKU sudah bersedia di meja makan pagi itu. Aku berehat pagi itu memandangkan aku bekerja pada waktu malam semalam. Uniformku pun masih setia tersarung di badanku. Kerja sebagai polis tidaklah semudah yang aku sangka sewaktu aku kecil dahulu. Tanggungjawab yang besar harus aku galas, dan sememangnya pekerjaan ini mencabar ketahanan mental dan fizikalku. Sudah tiga puluh tahun aku berkhidmat, aku lebih banyak belajar daripada pengalaman. Biasanya selepas pulang daripada kerja sebagai polis, aku akan terus menjadi pemandu teksi. Dua pekerjaan yang harus aku lakukan setiap hari untuk menyara makan minumku dan pembiayaan Iffah di luar negara. Aku sahaja bekerja dalam rumah ini. sekarang ini aku cuma mengharap Iffah pula yang bekerja untuk menyara dirinya, jujur aku sudah tidak larat untuk menampung hidupnya yang sudah besar panjang itu. Dia sudah mempunyai ijazah, pasti mudah untuknya memohon pekerjaan. Cuma harapanku ini tidak aku nyatakan kepadanya. Biarlah hati ini memendamkan seksa, dia anakku bukan orang asing dalam hidupku.
            Idah, isteriku keluar daripada dapur menatang dulang yang sarat dengan tiga cawan dan teko yang berisi air teh. Semenjak kehadiran Iffah ke Malaysia, senyuman terus-terusan melekat di wajahnya. Semua disediakan memenuhi kehendak anak tunggalnya itu. Makan minum semua terjaga. Sudahnya, Idah melayan Iffah seperti budak kecil. Apa yang di mahu terus diberi.

            Cawan putih yang kosong itu diletakkan di hadapanku. “Mana Iffah? Tak turun-turun lagi?” air teh sudah memenuhi cawan tiga perempat cawan itu.
            “Masih tidur lagi.” Jawabnya ringkas. “Biarlah dia berehat, dia kan baru aje sampai.”
            Seminggu sudah dirinya wujud di Malaysia, seminggu ini juga dia bangun lewat. Mustahil penat itu tidak hilang dalam seminggu. Penat sangatkah sehinggakan mengambil masa yang lama untuk menghilangkan lelah itu? Aku yang bekerja dari pagi ke petang, petang ke malam ni tidak juga berbulan-bulan untuk berehat.
            “Rehat tak rehat, pergi kejut sekarang. Dah pukul berapa dah ni tak bangun...bangun lagi. Anak dara apa macam tu?” aku memulakan bebelanku. Disiplin adalah perkara utama dalam hidupku. Mungkin sudah terbiasa dengan disiplin dan peraturan dalam etika sebagai seorang polis.
            “Kejap lagilah. Abang makanlah dulu.” Idah menolak sopan.
            Aku sudah kenal dengan perangainya. Tidak sampai hati menganggu tidur orang lain, apatah lagi anaknya itu. Terlalu sayang akan anaknya itu.
            “Pergi kejutkan  sekarang!” suaraku aku keraskan sedikit. Menghentikan langkah yang dibuka oleh Idah untuk ke dapur.
            Arahanku diturutinya juga, belum melangkah ke anak tangga, suara Iffah sudah mengetuk gegendang telingaku.
            “Ayah, Iffah nak keluar dengan kawan hari ni, boleh?”
            Iffah sudah duduk di sebelah kerusiku, menghadapku, menanti jawapan yang bakal keluar dari mulutku. Mata Idah aku lihat dalam-dalam, dia juga ingin aku merelakan Iffah keluar.
            “Tak boleh.” Jawabku sambil menyuakan sudu yang menampung butiran-butiran nasi goreng kampung pagi itu.
            “Kenapa pulak?” tanya Iffah dalam nada terperanjat. “Bolehlah ayah.” Rengeknya seperti budak-budak umur empat tahun.
            Alahai, pandai juga rasa kasihan aku ni muncul. “Tukar baju dulu kalau nak keluar. Kalau tak, jangan mimpi nak keluar. Ayah tak izinkan.” Tegas aku menutur bicara. Biar dia tahu aku tidak bermain-main pada waktu itu.
            “Okey apa baju ni? Bukannya koyak pun, busuk pun tak. Cantik adalah. Kan ibu?” Iffah membelek-belek baju yang tersarung dibadannya itu.
            “Cantik, sesuai dengan Iffah.” Idah pula menyokong anaknya berpakaian begitu.
            “Baju tak cukup kain macam tu cantik? Baju ketat macam tu sesuai? Kamu tahu tak kamu telah tengokkan orang-orang kat luar tu aurat kamu? Kamu tahu kan apa hukumnya memperlihatkan aurat dengan lelaki ajnabi? Sepatutnya aurat kamu tu untuk suami kamu aje, bukan untuk lelaki lain. Faham?!” aura baranku tiba-tiba memuncak. Nasi goreng yang masih luak di pingganku itu, aku biarkan sepi. Aku cuma risau tentang keselamatannya, sekarang ini kes rogol, ragut sudah menjadi perkara wajib terpampang di dada akhbar dan muka televisyen. Dua kes ini yang aku amat risaukan.
            Iffah menarik muka cemberut. “Ini fesyenlah ayah. Semua orang pakai macam ni lah ayah.” Iffah mula mengajarku tentang fesyen.
            “Ayah ni tak sporting langsunglah. Ibu, Iffah keluar ye?” iffah meminta izin daripada Idah pula setelah aku tidak membenarkan. Idah mengangguk, semudah itu dia merelakan Iffah keluar rumah dengan cara pemakaian yang begitu?
            Iffah sudah mulai hilang dibalik daun pintu rumah utama. Sarapan pun tidak diambilnya. Mata Idah terus aku tikam. “Bagus sangatlah tu biarkan anak dara keluar dengan baju tak cukup kain macam tu. Ada akal tak reti nak guna, harap belajar aje tinggi.” Marahku kepada Idah. Biar dia tahu aku sedikit pun tidak bersetuju dengan tindakannya itu.
            Aku terus melangkah pergi meninggalkan Idah yang masih tertunduk kerana aku dimarahiku. Sudahlah aku penat, arahanku pula diingkar. Sudah tidakkah mereka hormat kepadaku sebagai ketua keluarga dalam keluarga ini? selama ini jika itu aku kata, itu jugalah yang dibuat. Aku harus bersabar untuk kali ini, tetapi tidak lain kali.

ABANG KAMAL, kau teman aku round bandar.” Ajak Shuib.
            “Aik... syif kau dah habis ke?” soalku pelik.
            Shuib memang seorang yang menepati masa, tidak pernah sekali pun dia meninggalkan kerjanya. Setiap hasil kerjanya pasti dipuji. Aku sendiri tabik dengannya.
            “Dah.” Kata Shuib sambil tangannya menunjukkan simbol okey.
            Aku mengemas mejaku ala kadar. Fail-fail yang terbaring aku susun ditepi meja. Hari itu aku santai, langsung tidak ada kerjaku. Sudahnya, terpaksa pergi meronda di bandar Tawau ini. arahan ini terpaksa juga aku turuti. Aku akan pergi bersama Shuib, pastinya aku tidak akan dihantui kebosanan, Shuib seorang yang gila-gila. Boleh rasa muda kembali ketika bersamanya walaupun umur sebenarku sudah empat puluh lapan tahun.
            Lantas, aku arahkan kakiku untuk pergi ke kereta polis yang sudah tersedia. Shuib sudah menunggu aku di dalamnya. “Jom gerak.” Arahku.
            “Okey bos.”
            Seperti yang aku jangkakan, perjalanan kami ini hanya dipenuhi dengan gelak tawa yang terbahak-bahak. Radio juga seperti tidak ada fungsinya, dibiarkan terus berbicara sendirian tanpa kami berdua hiraukan. Ada saja cerita Shuib untuk mengisi masa kosong. Sedari tadi gusi tidak pernah kering, akal budak seorang ini tidak akan pernah berhenti. Gelak ketawaku tiba-tiba mati, Shuib sudah aku tidak pedulikan disebelahku. Secara tiba-tiba saja hatiku diserang gundah. Debarannya makin rancak di dalam dada ini, hanya Allah yang tahu kelajuannya saat itu.
            Aku cuba berlagak tenang dihadapan Shuib. Aku cuba mengukir senyuman di bibirku dengan lawak dan cerita yang diciptanya. Tidak mahu dia berasa hati dengan perilakuku yang berubah secara mendadak. Sedangkan aku sendiri tidak pasti kenapa ada serangan yang begitu ajaib berlaku kepada diriku.
            “Sudah, sudahlah kau merepek. Sekarang ni aku nak minum, kau belanja.” Kataku sambil mematikan radio yang sedari tadi tidak dipedulikan, kalau radio itu ada perasaan mungkin saja dia sudah merajuk.
            “Kenapa pula aku yang belanja? Abang yang nak minum, kan? Abanglah yang belanja sebab abang yang ajak.” Shuib cuba membantah.
            “Ini arahan, jadi ikut aje.” Aku mematikan hujah Shuib.
            Semestinya aku yang akan membayar makanan dan minuman yang bakal kami pesan. Tidak elok jika aku yang mengajak dia yang keluar duit. Lagi pula, dia orang baru dalam organisasi sebagai seorang polis. Mustahil untukku membiarkan itu semua berlaku. Kawan baru setengah tahun, kira baru lagi. Mestilah kena layan baik-baik.
            Shuib memakirkan kereta polis peronda itu dikawasan tempat letak kereta sebuah restoran di Tawau itu. Setelah enjin kereta dimatikan, aku mulai membuka tali pinggang keledar yang mula melilit badanku. Pintu kereta aku buka kan kaki kiriku menjejak ke jalan raya yang dibahangi panas terik mentari tengahari itu. Punat kunci kereta di alat kawalan jauh kereta itu ditekan oleh Shuib. Kami berjalan seiring menuju ke restoran yang cukup menarik perhatian kami, walaupun pada asalnya hanya aku yang ingin minum.
            Langkah demi langkah kami buka mendekati restoran itu. Langkahanku kali ini tiba-tiba terhenti. Sesuatu menarik perhatianku di belakang lorong itu. Shuib turut berhenti apabila menyedari aku sudah tidak menuruti langkahnya. Aku amati betul-betul apa yang terhidang di hadapan mataku.
            Laju dan semakin laju aku membuka langkahku mendekati dua pasangan itu.
            Bush! Sebiji aku bagi lelaki itu penumbuk. Terjelopok lelaki itu ke atas tanah. Perlahan-lahan pemuda bangsat itu mengangkat muka sambil menyapu darah yang keluar daripada rekahan pecahan bibirnya yang aku tumbuk tadi. Puas hati aku. Perempuan itu, Iffah. Iffah juga aku bagi cenderahati. Dengan hati yang cukup berat aku bagi juga penampar tangan kananku. Ini kerjanya sejak pulang ke Malaysia? Selama ini dia jarang duduk di rumah, kerja terkutuk begini juga yang dilakukannya. Shuib sudah menarik aku ke belakang, dicengkam kuat badanku daripada terus-terusan memukul iffah. Tidak ada apa lagi yang aku rasa melainkan rasa kecewa dengan perangai satu-satunya anakku berlaku sumbang. Berdua-duaan di tempat sunyi, berpegang-pegangan sehingga terlupa dengan batas. Memang rasa sedih benar-benar menghuni hatiku. Kekecewaan menunjukkan bunga-bunga yang sudah mulai pudar warnanya.
            Aku menarik keras badanku daripada terus dihalang oleh Shuib.  Iffah harus diberi pelajaran, nampaknya pelajaran di Amerika selama ini tidak membuahkan hasil. Apa gunanya sempurna pada pelajaran jika tidak sempurna pada akhlak? Apalah maksudnya sempurna pada ilmu sedangkan gagal mengaplikasikan ilmunya itu? Tubuh kecil iffah yang dalam esak tangis itu aku tarik pergi ke kereta peronda polis tadi. Mujur juga Shuib tahu niat di hatiku. Maka dia juga mengekori langkahku ke kereta polis itu.
             Sebaik sahaja kunci kereta itu dibuka, pintu belakang terus aku buka dan memasukkan iffah ke dalamnya. Sesudah Iffah terkurung di dalam kereta itu barulah aku masuk ke perut kereta. Cuma aku duduk di hadapan untuk mengelakkan aku berlaku gila ke atas anak sendiri.  Shuib terus menghidupkan enjin kereta dan mula membelah jalan raya. Aku menyuruh Shuib menghantar kami berdua ke rumah, mujur sahaja shifku sudah habis, kalau tidak terpaksa pergi kerja balik. Kami bertiga hanya berdiam sahaja di dalam perut kereta itu, gigi atas dan gigi bawahku sudah bergesel sesama sendiri. Menahan marah yang sudah cukup membuak-buak dengan kekecewaan yang hadir mengejek-ejek diriku kerana gagal untuk membimbing seorang anak gadis, satu-satunya anakku.
            Pintu rumah terus aku buka kasar dan tubuh ringan Iffah terus aku humban ke lantai. Inilah masanya untuk membuatkan dia ingat peristiwa ini ke mati. Aku sudah tidak kisah apa yang akan terjadi, yang aku tahu Iffah berubah. Aku mahu Iffah yang dahulu, bukan Iffah yang ini. tali pinggang yang terlilit kuat di seluar uniformku aku buka dan terus hinggap di betis Iffah yang terdedah itu. Parut atau tidak aku tidak peduli. Iffah mula terjerit-jerit kesakitan menerima pukulan daripadaku.
            “Ayah... ampun ayah... ampun.” Pinta Iffah berselang-seli dengan esak tangisnya.
            “Apa yang kau buat selama ni kau tak rasa salah pun. Aku dah bagi baru kau nak mintak ampun. Aku tak pernah ajar kau macam ni lah!” aku memberikan pukulan terakhir dengan sekuat hati.
            Shuib menolak badanku jatuh ke sofa, Idah pula turut menangis sambil memeluk badan anaknya. Idah juga terkena pukulanku tadi sewaktu dia cuba menyelamatkan Iffah daripada terus-terusan menjadi mangsa keberanganku. Shuib menenangkan aku yang duduk di sofa. Mataku mencerlung tajam dua kujur badan yang masih berpelukan sesama mereka.
            “Iffah, pergi masuk bilik sekarang.” Aku cuba mengawal ketinggian suaraku.
            Iffah dan Idah cuba untuk berdiri. Perlahan-lahan dia bangun dibantu oleh Idah. Idah memapah Iffah masuk ke dalam bilik, sayu hatiku melihat hasil kerjaku. Disebabkan aku Iffah tidak berupaya untuk berjalan, malahan sampai pincang caranya berjalan.
            “Aku balik dulu, jangan kuat sangat marah tu. Jaga kesihatan diri.” Pesan Shuib.
            Perjalanannya keluar hanya aku ekori menggunakan ekor mata. Setelah Shuib berlalu pergi, barulah aku menutup pintu rumahku dan berlalu ke bilik tidur. Aku duduk di birai katil, perlahan-lahan manik jernih dari tubir mata mulai jatuh. Tangisan seorang ayah keluar juga, tangisan kekecewaan dan rasa bersalah kepada Ilahi kerana gagal memenuhi tanggungjawabku sebagai seorang ayah. Sudah lama aku tidak menangis, kali terakhir aku menangis sewaktu pemergian ayahku ke rahmatullah ketika aku berusia lapan tahun. Itu kali terakhir aku menzahirkan air mataku. Selepas itu tidak pernah air mataku gugur, hanya sekadar menangis di dalam hati. Hari ini tercipta sejarah, empangan air mata itu pecah kembali.
            Perlahan-lahan aku menjatuhkan badanku ke atas badan katil, aku hanya bersendirian di dalam bilik itu. Perasaanku bercampur baur. Betulkah apa yang aku lakukan itu terhadap Iffah? Cukuplah. Sedangkan cara mendidik anak itu adalah dengan merotan, aku memukulnya untuk memberikannya peringatan mengenai hari ini. untuk menjadikan peristiwa hari ini sebagai teladan buatnya. Aku tidak mahu dia terus lemas dalam lebah maksiat, tidakkan ada ayah yang merelakan perkara itu terjadi kepada anaknya melainkan dia seorang yang tidak berilmu.

T-SHIRT polos aku sarungkan ke badanku seusai aku mandi pada pagi itu. Sejak aku memukul Iffah tengah hari kelmarin, batang hidungnya langsung tidak aku lihat. Begitu juga dengan Idah, keluarnya hanya untuk menyiapkan makan minumku kemudian berkurung bersama Iffah di dalam bilik. Makan malam sendiri juga aku bersendirian di meja makan, seleraku juga tidak ada. Televisyen langsung tidak menarik perhatianku, jiwaku sebenarnya masih terpukul dengan perbuatan Iffah. Rasa kecewa itu belum surut sepenuhnya, kalau hilang tetap meninggalkan bekas di hatiku.
            Aku melangkah keluar daripada bilik tidurku. Niat untuk mencari rezeki menggunakan teksi terpaksa aku tangguhkan semula. Aku cuma perlukan sejam untuk mencari rezeki. Bagi memenuhi masa sejam itu, meja makan menarik perhatianku. Walaupun cuma roti bakar dengan teh, cukuplah untuk aku mengalas perutku. Sedikit sebanyak makan hati juga aku dengan sikap Idah yang terlalu mendahulukan Iffah walau pun Iffah itu anak kami. Memang wajar Iffah diperlakukan sebegitu kerana dia telah melanggar syariat Islam, aku cuma menyedarkannya tentang kesilapannya, melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ayah kepadanya.
            Seusai aku mengambil sarapan pagi itu, aku kembali ke bilik, menyarungkan baju putih yang akan aku guna ketika memandu teksi. Pergerakanku dan tindak tandukku terhenti ketika terdengar suara Idah melaung namaku dari bilik Iffah. Aku mulai panik, dengan segera aku arahkan kakiku memasuki bilik itu. Idah sudah jatuh mencium lantai bilik itu. Aku terus menepuk-nepuk pipi Idah, cuba menyedarkan dirinya daripada pengsan. Aku beradda dalam ketakutan, aku tidak mahu sesuatu terjadi pada Idah. Wajahnya yang sudah pucat lesi itu ditambah lagi dengan tubuhnya yang tidak bermaya itu membuatkan aku semakin panik.
            Menurutkan kata hati, langsung aku tentang badai emosi di dada. Jasad tidak bermaya itu aku cempung ke teksi yang sudah aku hidupkan enjin keretanya. Teksi itu terus memecut laju membelah jalan raya menuju ke hospital, isyarat kecemasan aku hidupkan menandakan aku ingin cepat.

AKU memandu pulang ke rumah dari hospital. Aku perlu mandi dan mengambil beberapa helai baju sebagai persediaan. Idah ditahan di hospital kerana kekurangan glukosa dalam darahnya dan terkena demam panas. Demam terkejut katanya. Ragu-ragu juga aku meninggalkannya di hospital tadi. Sejak dia sedar dari pengsannya tengahari tadi, tidak pernah berhenti tangisnya. Aku disuruhnya pulang, membuat apa yang patut kemudian datang kembali ke hospital. Dia tidak memaksa aku untuk menemaninya di hospital, tetapi aku risau akan keadaannya. Doktor kata Idah mengalami tekanan perasaan serta kandungan glukosa dalam badannya rendah kerana dia belum menjamah sedikit pun makanan daripada tengah hari semalam. Selepas dia sedar tengah hari tadi baru ada sesuap dua bubur masuk. Itu pun begitu payah aku pujuk.
            Menurut Idah, dia pengsan kerana mengetahui Iffah lari dari rumah. Perkara ini mengejutkan aku semestinya. Aku sudah berjanji akan mencari Iffah sehingga ke lubang cacing. Mujur ada Shuib, boleh juga aku harapkan dia menolong aku mencari Iffah yang entah ke mana perginya. Aku cuma risau lelaki bangsat tempoh hari yang diikutnya.
            Selesai aku menunaikan solat Isya’ di rumah, aku mula memasukkan beberapa helai tudung ke dalam beg. Sebelum aku melangkah keluar, aku singgah seketika di bilik Iffah. Siapa tahu dia ada meninggalkan petunjuk ke mana dia ingin pergi. Katil biru miliknya itu menarik perhatianku untuk menjalankan penyiasatanku di situ. Bantal yang tersusun rapi itu aku angkat, kosong! Ternyata Iffah memang mahu menjauhkan diri daripada keluarga ini, lebih-lebih lagi daripada aku. Mataku melekat dengan kertas putih yang baring di atas lantai itu, berdekatan dengan tempat Idah pengsan pagi tadi. Tidak pula aku perasan dengan kewujudan kertas itu. Mungkin kerana kertas itulah Idah terkejut lalu pengsan.
            Aku mendekati kertas putih yang berconteng itu dan mengambilnya.
Buat ibu dan ayah,
Sebelum itu Iffah nak mintak maaf sebab lari dari rumah tinggalkan ibu dengan ayah berdua. Bukan kerana Iffah merajuk dengan ayah dan ibu. Kata-kata dan tindakan ayah itu betul dan telah menyedarkan Iffah sari kesilapan Iffah. Iffah malu nak berhadapan dengan ibu dan ayah atas kesilapan yang telah Iffah lakukan selama ini. bukan niat Iffah nak buat perkara yang memalukan begitu, Iffah pun tidak tahu mengapa Iffah boleh hanyut dalam godaan syaitan. Selepas ini, kalau boleh ayah dan ibu jangan cari Iffah, Iffah malu nak jumpa dengan ibu dan ayah. Malu, malu sangat. Sekali lagi, Iffah minta maaf dari hujung rambut hingga hujung kaki, halalkan makan minum Iffah dan semuanya. Terima kasih kerana sanggup menerima anak yang tidak reti mengenang budi ini.
Salam maaf dari orang yang telah menconteng arang di muka ibu dan ayah,
Iffah Syakila.

            Air mataku gugur lagi. Kenapa harus Iffah berasa malu dengan kami? Seteruk mana pun dia, tidak akan aku buang dari hidupku. Dialah satu-satunya anakku, permataku. Dialah warna hidupku. Aku sudah tidak ada sesiapa lagi kecuali mereka berdua. Hanya mereka yang mampu mengukir senyum di bibirku. Aku menyeka air mataku, mengumpul kekuatan yang ada kemudian meneruskan perjalanan ke hospital. Aku tidak mahu Idah menunggu lama kehadiranku di sana nanti.

IDAH kembali masuk ke dapur setelah mendapatkan aku di depan pintu. Itulah rutin hariannya menyambut ke pulanganku di muka pintu kemudian pergi ke dapur menyediakan minum petang untukku. Alhamdulillah, Idah sudah dapat menerima hakikat Iffah lari daripada rumah. Sudah genap dua minggu dia tidak pernah datang ke rumah ini. walau bagaimana pun, kedatangannya ke rumah ini sentiasa kami alu-alukan. Aku inginkan dia kembali mewarnai hidup kami berdua, bila-bila masa sahaja ajal menjemput aku. Kalau boleh, biarlah dia berada di sisiku sebelum saat itu datang.
            Aku menjatuhkan punggungku ke sofa yang setia menghadap televisyen itu. kaca televisyen itu memaparkan kisah Maharaja Lawak. Ketawa dan tersenyum juga aku melihat lawak gila peserta walau pun itu adalah siaran ulangan. Idah meletakkan air teh di hadapanku dan kemudiannya turut duduk di sebelahku.
            Telefon bimbitku yang ralat berbunyi itu membuatkan aku tersentak daripada terus ralit dibuai tawa. Nombor yang tidak ada dalam senarai kenalanku terpapar di skrin telefon itu. keningku bercantum menjadi satu.
            “Assalamualaikum.” Ucapku setelah punat jawab aku tekan.
            “Waalaikumussalam, ini Encik Kamal Yusrizan ke?” soal pemanggil tersebut.
            Aku semakin hairan, bagaimana pula dia boleh mengenaliku sedangkan aku langsung tidak dapat mengecam suaranya. Atau... dia adalah penculik Iffah dan ingin meminta duit tebusan? Mungkin saja surat yang ditinggalkan oleh Iffah itu hanya palsu. Hatiku mula berdegup kencang, tetapi aku mengawal situasi cemas itu. berlagak profesional.
            “Ya, saya. Siapa ni?” tergagap aku menyoal.
            “Saya Ishak, maaflah mengganggu. Tapi ini ayah kepada Iffah Syakila, kan?” darah dalam badanku sudah mengalir laju.
            Mustahil ini adalah penculik yang ingin duit tebusan. Kalau benar dia adalah penculik itu, pasti dia merahsiakan identitinya. Aku cuba berfikiran optimis.
            “Ya saya. Macam mana encik boleh kenal?” giliranku pula bertanya.
            “Saya dapat iklan encik ni, kebetulan Iffah ada dengan saya. Kalau tak keberatan, encik boleh beri saya alamat rumah encik dalam setengah jam lagi saya datang. Lepas itu, baru saya bawa encik ke rumah saya sebab Iffah ada kat rumah.”
            “Okey, terima kasih banyak-banyak. Nanti saya SMS aje. Assalamualaikum.” Aku terus mengukir senyuman. Senyuman kebahagiaan.
            Aku menamatkan panggilan setelah salamku di jawab oleh Ishak. Idah sudah kelihatan blur disebelahku. Matanya yang penuh tanda tanya itu aku dalami. “Pergi tukar baju, ada orang nak datang.” Arahku.
            “Siapa?” soalnya tidak puas hati.
            “Pergi bersiap aje. Kita nak keluar. Cepat.”
            “Mana satu ni, nak sambut tetamu ke nak keluar ni?” Idah sudah mula menggaru kepalanya, cukup untuk menandakan yang dia sedang bingung.
            “Dua-dua sekali.” Kataku sambil ketawa mempermainkan dirinya yang tengah bingung,

“KITA nak ke mana sebenarnya ni?” Idah masih lagi setia bertanya walaupun aku enggan memberikan sebarang respon.
Boleh dikatakan setiap dua puluh tiga saat dia akan bertanya. Dan setiap kali itulah aku akan melemparkan senyuman kepadanya. Aku tidak mahu dia terlalu teruja dengan berita yang entah sahih atau tidak. Aku tidak mahu dia akan menangis untuk kali kedua. Cukuplah seminggu itu, tidak akan ada lagi air mata. Walhal belakangan ini Idah akan menangis jika teringatkan Iffah. Beribu-ribu juga kata-kata manis aku keluarkan untuk melenturkan hatinya. Sifat sensitif dan kuat menangisnya itu yang membuatkan aku semakin menghargainya.
“Siapa lelaki tadi tu? Kenapa kita ikut dia?” Idah semakin kuat mengasakku. Dirinya aku kerling seketika dan meneruskan fokus dengan perjalanan kami.
“Kenapa diam? Jawablah.” Paksa Idah.
Aku mula membuka mulut, menyanyi mengikut lagu yang terpasang di corong radio. Rancak lagu itu, rancak juga aku menyanyi. Aku bagaikan orang gila yang ingin melepaskan kegilaan dengan nyanyian.
Idah sudah naik angin dengan tingkahku. Dia sudah memalingkan mukanya daripada terus mengharap daripadaku. Menyedari perubahannya, aku berhenti daripada menyanyi walaupun ketika itu lagu kesukaanku sedang diputarkan, suci dalam debu nyanyian Lefthanded.
“Bagitahulah kita nak ke mana sekarang ni?” lengan kiriku dipautnya, kejap.
“Sabar aje. Dari tadi tak reti nak duduk diam, asyik pot pet pot pet aje mulut dia.”
“Habis, dari tadi nak sangat berahsia. Bagitahulah cepat.” Badanku digoncang semahunya. Tanganku yang mengawal stereng kereta turut terganggu. Habis kereta aku seperti di pandu oleh pemandu gila. Bunyi hon panjang daripada treler yang berada lebih kurang seratus meter di hadapan keretaku saat itu benar-benar ingin menggugurkan jantungku.
“Dahlah!” aku menarik kasar tanganku daripada genggaman Idah yang sudah memucat. “Nak sangat kemalangan? Dah tak sayang nyawa? Dah cukup iman kat dada tu nak main dengan bahaya pulak?” bentakku kasar.
Idah sudah tertunduk mendengar amarahku. Kasihan juga untuk aku memarahinya, tetapi sudah memang salahnya. Tangannya sudah mula menggigil ketakutan, aku tidak tahu sama ada ketakutan kerana aku memarahinya atau kerana keadaan yang hampir membawa kepada kemalangan tadi.
“Jangan nangis. Tak cantik, elok-elok muka tu cantik dah nangis nanti macam katak pulak. Senyum.” Aku mula mengatur bicara, memayungi rasa marahku tadi. “Kita nak jumpa Iffah ni, jadi jangan nangis. Kalau nangis baik balik rumah aje.”
“Iffah? Betul?” soal Iffah yang panasaran.
“Jangan nak banyak soal. Diam atau tidur.” Aku memberikan arahan, sudah terbiasa dengan situasi kerja.


SETELAH beratus-ratus simpang aku masuk, berkilometer aku rempuh, akhirnya aku sampai juga kami di sebuah kampung. Namun, destinasi kami belum aku ketahui. Aku hanya memandu mengikut kereta Ishak yang aku turuti dari tadi. Langsung tidak terdetik di hatiku dan akalku untuk bertanya posisi rumahnya. Sudahnya, aku hanya memandu mengikut arus liku yang sama dengan Ishak.
            Lelaki berumur sebaya aku itu memberhentikan keretanya yang aku pasti perkarangan rumahnya. Halaman yang agak luas di situ, dihiasi dengan kicauan burung dan pohon hijau yang mencuci mata serta tamparan angin bayu yang cukup menenangkan. Situasi itu cukup menggamit hatiku, terbuai seketika aku dengan keindahan ciptaan-Nya. Aku memejam mata, menghirup udara segar sepuasnya lalu menghembusnya beserta dengan kelelahanku yang tidak pernah berhenti. Dari malam semalam aku belum melelapkan mata walau untuk lima belas minit. Aku tentang rasa penat demi rezeki yang halal.
            “Encik Kamal, masuklah ke rumah saya. Maaflah, kecil aje tak besar mana.” Kata ishak, merendah diri.
            “Besar rumah ni, tak ada kecilnya.” Balasku jujur. Dari luar sudah terserlah kesegahannya, dalam rumah aku tidak tahu lagi.
            Aku mengejutkan Idah dari lenanya. Radio aku tutup dan enjin kereta aku matikan. Kemudian aku bersama-sama dengan Idah mendekati rumah yang tersergam indah itu. Rumah berwarna hijau muda itu memang menarik. Sewaktu aku melangkahkan kakiku memijak anak tangga pertama, jantungku mula berdegup kencang seperti baru selesai menamatkan larian pecut.
            “Ayah! Ibu!” tiba-tiba suara Iffah menampar gegendang telingaku. Aku berpaling ke arah belakang, dari arah suara itu datang.
            Idah sudah aku lihat berpelukan bersama dengan seorang perempuan yang lengkap memakai tudung labuh dan mukanya ditutupi purdah, hanya matanya sahaja yang dapat aku lihat.
            “Ayah...” lemah wanita itu memanggilku. Tanganku terus disalam dan diciumnya. Air mata mulai mengalir merentasi belakang tapak tanganku. Badan Iffah terus aku masukkan ke dalam pelukanku. Dahinya aku cium.
            “Iffah mintak maaf ayah...”

SEUSAI aku menunaikan solat asar petang itu, aku terus pulang ke rumah, menjana sedikit kekuatan untuk waktu kerjaku pula malam ini sebagai polis. Beginilah rutinku untuk membiayai tiga beranak lebih-lebih lagi ketika Iffah di perantauan dahulu. Siang malam keluar mencari rezeki.
            Pintu rumahku aku buka. Saat kaki melangkah ke dalamnya, senyuman mula terlukis di mukaku yang hitam manis warnanya. Akhirnya, kemanisan dan kebahagiaan keluarga ini wujud semula. Bayangan Idah dan Iffah jelas di mataku. Aku mulai mendekati mereka yang masih tidak menyedari kedatanganku, sedari tadi hanya khusyuk dengan gelak tawa, televisyen dibiarkan beraksi sendirian.
            “Assalamualaikum wahai Isteri dan anakku. Dari tadi orang macho ni berdiri kat sini, tak kan tak ada yang perasan kot?”
            “Waalaikumussalam. Sorry tak perasan. Nak minum?” tanya  Idah yang mulai bangkit dari duduknya. Aku tersenyum lebar seraya menangguk.
            Aku mula melabuhkan dudukku di sofa tunggal. Butang baju putihku itu aku buka malas sehingga 2 butang terbuka memberi ruang untuk udara menyentuh lembut badanku yang mulai berpeluh. Badanku aku sandarkan di sofa itu, mataku aku pejam rapat. Aku teringat dengan perbincanganku dengan Ishak.
            Mataku yang terpejam aku luaskan kembali bukaannya. “Iffah, dah solat?” aku memulakan mukaddimah.
            Iffah mengangguk. “Iffah kenal dengan Akasyah?” soalku serius. Aku menyoal benda yang aku sudah tahu jawapannya.
            Akasyahlah yang bertanggungjawab menyelamatkan Iffah semasa iffah lari dari rumah waktu itu. dia jugalah yang membawa Iffah pergi ke rumahnya. Aku banyak terhutang budi kepadanya. Akasyah, anak kepada Ishak yang aku dan Ishak telah merancang untuk menyatukan mereka berdua.
            “Ayah tanya tu Iffah, jawablah.” Kata Idah separuh berbisik, namun jelas kedengaran dicuping telingaku.
            “Ke..kenal.” gugup Iffah berbicara.
            “Suka dia?”
            Iffah terkejut, begitu juga dengan Idah. Sekarang ini dua pasang mata menikam diriku. Lambat-lambat Iffah menjatuhkan mukanya, menekur lantai yang ditutupi oleh permaidani biru. Dikuisnya permaidani itu dengan ibu jari kakinya. Iffah menangis tiba-tiba. Dahiku berkerut tidak memahami.
            “Ayah tanya ni, kalau Iffah setuju nak kahwin dengan dia. Ishak nak datang meminang esok. setuju ke tak, bukan ayah suruh nangis.” Aku bongkar juga rahsia. Dudukku kembali tegak setelah penat bersandar.
            “Ibu.. Ayah.. Iffah minta maaf, Iffah tak boleh terima Abang Syah.” Iffah melagukan beriramakan esak tangisnya.
            “Sebab?” tanyaku.
            “Iffah dah tak suci... Iffah dah jadi jijik... Iffah tak yakin Abang Syah akan terima Iffah dengan keadaan Iffah yang sekarang ni.” Lebat air terjun dari matanya.
            “Maksud kamu?” Soal Idah pula. Aku sudah mula bungkam. Mataku membuntang melihat Iffah yang membuat pengakuan.
            “Iffah dah kena rogol.”
            “Ya Allah!” Idah terus memeluk Iffah. Tangis mereka bersatu.
            “Ayah pukullah Iffah, pukullah  ayah. Kalau ayah nak bunuh sekalipun Iffah faIffah banyak susahkan ayah dengan ibu selama ni. Memang patut Iffah kena hukuman daripada Allah.”
            Iffah bergerak mendekatiku. Dia melutut di hadapanku, tangannya menghulur tali pinggang yang aku guna memukulnya tempoh hari. Sebak hati melihatnya. Tanganku menggigil marah, darahku sudah laju bergerak. Perlahan-lahan aku ambil tali pinggang itu dari tangannya. Aku letakkan tali pinggang itu di atas meja.
            “Jangan minta maaf dengan ayah, sebab semua salah Iffah ayah dah maafkan. Minta maaf dengan Allah, sebab hanya Dia yang berkuasa mutlak atas diri kita.” Aku membelai ubun-ubun anakku.

APA yang dikhabarkan kepadaku oleh Akasyah benar-benar memeranjatkan aku. Aku tersenyum sendiri, bahagia. Akhirnya terjawab sudah segalanya. Bukannya kepercayaanku kepada Iffah sudah hilang, tetapi aku kurang yakin dia boleh berdikari bersendirian. Dia masih terlalu muda untuk menghadapi cabaran di luar sana bersendirian. Sedangkan ujian di Amerika Syarikat sudah menghanyutkan dia, di Kuala Lumpur ini boleh jadi juga. Bagai sudah tidak ada jurang perbezaan.
            Aku benar-benar memanjatkan kesyukuran dengan kedatangan rombongan meminang yang dipimpin oleh Ishak sendiri. Segala kebenaran sudah terurai. Akasyah sendiri menyatakn hasratnya untuk memperisterikan Iffah dan Iffah sudah pun menyetujuinya.
            “Saya tak kisah dan saya sudah tahu hal ini dari awal lagi. Jadi, saya yakin jodoh saya bersama anak pak cik dan dia sebahagian daripada saya. Saya ikhlas untuk memperisterikan Iffah, saya tahu manusia tidak diciptakan sempurna sebab itu saya menerima dirinya seadanya. Begitu juga dengan Iffah untuk menegur kekurangan saya.” Kata-kata ikhlas dari Akasyah terngiang-ngiang di telingaku.

GEMBIRA aku walaupun tubuhku diserang penat dan lelah. Bahagia melihat anakku sudah mendirikan rumah tangga. Tidak menang tangan kami melayan tetamu yang datang tidak berhenti.
            Telefon bimbitku bergetar dikocek seluarku. Sengaja aku tukar ke mod senyap supaya tidak mengganggu akad nikah sebentar tadi. Sekarang Iffah dan Akasyah sudah bersanding di atas pelamin yang bertemakan warna biru laut itu. telefon bimbitku memaparkan nama Shuib. ‘Ni mesti kes tak dapat datang.’
            “Kenapa?” soalku sebaik salamku berbalas.
            “Boleh datang ke sini sekarang tak?” kata Shuib serius.
            “Untuk apa?”
            “Macam ni. Kami dah tangkap pe..perogol anak abang. Jadi kami nak abang datang sini.”
            “I’ll be there in a moment.”
            Talian aku putuskan. Akhirnya, jika benar dia yang membuatkan anak aku sebegitu. Sudah aku siapkan makanan untuknya. Aku masuk ke dalam rumah mencari Idah.
            “Abang keluar kejap, ada hal sikit. Bagitau kat Iffah ya.” Pesanku di sudut ruang tamu yang masih sesak itu.
            “Nak ke mana? Tak boleh tunggu ke? Ini kan hari penting anak kita.” Idah seakan berta hati. Bahunya aku pegang.
            “Kejap aje, nak belasah orang. Lepas tu baliklah, kalau ada orang cari kata aje keluar ada hal, ya?”
            Idah mengangguk lemah. Dahinya aku kucup dan terus berlalu pergi menuju ke destinasiku. Songkok yang ada di kepalaku aku buka dan letaknya di kerusi penumpang hadapan.

SELESAI solat maghrib malam itu berimamkan Akasyah, kami masih berteleku memohon doa kepada Ilahi. Malam ini rumah ini kembali sunyi kerana semua ahli keluarga kami sudah pulang ke rumah masing-masing. Aku meraup mukaku setelah Akasyah habis membaca doa.
            Akasyah menyalam tanganku dan menciumnya kemudian diikuti dengan Idah dan Iffah. Ketiga-tiganya melakukan perkara yang sama dan aku mencium dahi mereka. Sudah menjadi agenda dan rutin sehabis solat berjemaah. “Iffah jadi isteri yang baik, jangan lawan cakap suami kamu. Utamakan dia selagi tak bertentang dengan syarak. Buat suami kamu, ayah, ibu, abi dan umi kamu bangga sebab kesolehan dan ketaatan kamu sebagai seorang isteri dan anak. Lepas ni jangan bantah cakap orang lain, faham?” aku menyampaikan pesanan kepadanya. Dia sudah ada tanggungjawab sendiri.
            “Kamu pulak Syah, jaga anak ayah betul-betul. Bagitau aje ayah kalau dia ada buat kes. Jangan lupa tanggungjawab sebagai suami, tanggungjawab kamu sekarang ni dah tak sama macam dulu lagi, sekrang dah berat. Jangan syok sangat dengan isteri kamu sampai terlupa dengan abi dan umi kamu. Syurga kamu masih kat bawah telapak umi kamu. Jadi suami yang soleh.”
            “InsyaAllah ayah, Syah cuba sedaya upaya Syah.” Akasyah menjawab tenang.
            “Satu lagi ayah nak tambah, agak-agak bila ayah dengan ibu boleh dapat cucu?” aku berseloroh.
            Pecah tawa kami berempat di situ. Idah sudah memukul manja lenganku begitu juga dengan Iffah.
            “Secepat mungkinlah ayah.” Kata Akasyah dalam tawanya yang mula reda. Sudahnya, Iffah menabur cubitan di badan Akasyah. Sekali lagi aku bahagia dengan perkahwinan mereka ini. aku yakin Akasyah boleh membimbing Iffah.
            Soal perogol Iffah pula,  sudah didakwa dan sekrang ini menunggu perbicaraan di mahkamah sahaja lagi untuk disahkan berslaah sebelum dijatuhkan hukuman. Sekurang-kurangnya sekarang aku sudah dapat melihat keluargaku sudah kembali mampu bergelak ketawa seperti dahulu, inilah idamanku keluarga bahagia.


P/S: sorry part ast agak rush sbb mood tgh tension dan mahu marah aje belakangan ni... harap dpt trma seadanya... cerpen pertama yg bkn psl cinta kpd perkhwinan.... salam Ramadhan...

7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jalan cerita dah ada..nmpk menarik.cuma klimaks nya nmpk trburu -buru..sebagai pembaca,saya nk yg umphhhh.....keseluruhannya,sangat bagus dengan penggunaan bahasa yg santai.teruskan berkarya. :-)

-razlan-

Tanpa Nama berkata...

Iffah Syakila ~haha

-iffah-

Tanpa Nama berkata...

skjp dtwu.. skjp kl.. mna stu jgak btol'y ? pnyanyi lgu pun slah.. haha.. tp bez

-kenneth-

Tanpa Nama berkata...

Khusnul Syakinah : bleh laaa best,,,, actually...urm...biarla

Tanpa Nama berkata...

perintis ketenangan :

1)ak xfhm crpen mu krna aku syg? gdis liar?
2)xmsuk dgn jiwa kubru mw feel hbis sua sdihnya ak bc cpat btul d jmpa
3)haha xda bha xda feel bha aku c eng! ak cri2 sbnrnya d crpenmu tp aku xjmp pstu... aish! knp xkoma bpakny pkul? org td kasi koma laaa
kasi mati ka ibunya? saddis jua aku ni....

Amanatul Hamizah berkata...

apa jd dengan mamat bangsat tue? impossible dy x cari c iffah kan.. hmmm..

Mr M.S.A.S berkata...

kan d tgkp.... podah...