Halaman

Ahad, 10 Jun 2012

LUPUS SUDAH CINTA 2


MALAM itu aku berada di rumah orang tuaku. Sebenarnya aku ingin pulang sebentar tadi, cuma mama yang beria-ia melarangku pulang. Papa pula kurang bercakap sebentar tadi. Mungkin masih belum reda kemarahannya. Tuduhan yang papa lemparkan itu satu pun tidak mengena. Malah, jauh dari sasaran. Aku tidak menyalahkan papa atas tuduhannya itu. Mungkin memang salahku membuatkan perkara sebegitu kepada isteriku sendiri. Memang wajarlah aku mendapat andaian begitu. Tetapi, aku takkan lepaskan Ainnur melainkan sudah tidak ada jodoh antara kami.
            Tekakku tiba-tiba terasa dahaga pula, sudah tiga jam berlalu selepas aku makan malam dan merupakan kali terakhir aku minum. Biasanya pada waktu-waktu begini mudah saja aku terlelap, tetapi tidak malam ini. mungkin dengan malam seterusnya.
            Pintu bilikku aku buka perlahan-lahan dan penuh berhati-hati. Tidak mahu mengganggu orang tuaku yang mungkin saja sudah masuk tidur. Bilik kami berdepan, pastinya mereka akan terganggu jika aku terbuat onar tanpa sengaja. Aku melangkah seperti biasa turun ke bawah dengan kawalan kadar bunyi yang bakal dihasilkan. Lampu dapur sudah tertutup aku bukakan. Peti ais yang berdiri itu aku buka dan keluarkan sebotol air minum. Suara papa tiba-tiba memecah ruang kesunyian malam itu. Aku menutup semula botol air yang belum sempat aku isi ke dalam cawan yang kosong itu. Kemudian aku melangkah ke arah ruang tamu yang tertutup oleh tembok yang terbina di antara ruang makan dan ruang menonton itu. Sah! Memang papa dan mama yang ada di situ. Menonton telemovie Satu Permintaan lakonan Eja, Namron dan pelakon cilik, Mia Sara. Aku sudah menonton filem itu raya tahun lepas bersama-sama Ainnur.

            Badanku aku putar untuk kembali ke meja makan dan meneruskan hasratku untuk minum. Langkahku sekali lagi terhenti apa bila terdengarkan nama ku dan nama Ainnur dikaitkan. Aku terus berundur selangkah dua ke belakang kembali ke posisiku sebentar tadi. Aku ingin tahu, mana tahu aku dapat secebis maklumat mengenai kedudukan Ainnur sekarang ini.
            “Abang bukan marahkan anak kita tu. Tapi abang tak nak dia berpisah dengan Ain.” Papa mengeluh berat.
            “Tapi muka abang nampak macam marah aje petang tadi tu. Sampai saya pun takut nak keluar tau dari dapur tu.” Mama meluahkan rasa. Rupa-rupanya perbualanku dengan papa petang tadi didengari oleh mama. Tidak hairanlah mama melarangku pulang tadi.
            “Takkanlah abang nak marahkan anak kita tu. Zamri tu aje anak kita, dia luka kita lagi luka. Dia ketawa kita dah boleh senyum. Abang rela hilang semua benda kat dunia ni kecuali keluarga abang ni aje.” Mama memaut lengan papa.
            Tersentuh aku mendengar kata-kata seorang ayah. Patutlah selama ini aku tidak pernah dijentik oleh papa. Mama pun tidak pernah, baru sekali ketika aku melanyak tubuh Ainnur. Bodohnya aku tidak pernah memahami perasaan orang lain. Pa, ma maafkan Zamri. Adakah papa dengan mama merasai luka yang aku alami kini? Luka yang amat parah ini?
            “Abang, saya rasalah kan, Zamri tu nak balik dengan Ain. Abang rasa macam tu ke?” Mama membuka topik. Hatiku berdebar-debar menanti jawapan dari papa.
            “Mestilah abang rasa macam tu jugak. Tapi abang takut nanti andaian abang salah lagi. Abang tak nak Zamri tu hampa, tapi abang tak nak Ain tu sakit sebab Zamri. Abang tak tahu lah mana silap abang didik anak kita tu. Sampaikan dia sanggup pukul Ain macam tu sekali, lain lagi minum air kencing syaitan tu, solat tak pernah nak jaga sendiri...” Suara papa sudah cukup menunjukkan yang papa sedang menitiskan air matanya tika ini. bayang-bayang papa memperlihatkan mama menjatuhkan kepalanya ke pangkuan papa.
            Air mataku laju turun. Ya Allah, besar sungguh dosaku pada mereka Ya Allah.
            Mama mengesat air matanya yang turut gugur. “Abang tak salah, Zamri pun tak salah. Allah dah tetapkan takdir untuk kita. Kita redha aje. Zamri tu dah solat da saya tengok. Kalau dulu, nak kena suruh baru pergi, sekarang ni Alhamdulillah dia dah sedar. Kita doakan aje anak kita tu, kita bantu aje dia ya bang.”
            “Takkan lah abang tak doakan anak teruna abang tu. Siapa lagi abang ada.” Mama kembali duduk dan perlahan-lahan menyeka air mata papa yang masih berguguran itu. “Dah jauh malam ni. Abang masuk tidur dulu.” Papa sudah mula bangun. Aku turut bangun setelah terduduk lesu bersandarkan tembok itu. Air mata cepat-cepat aku kesat menggunakan tapak tanganku.
            “Bang.. tunggu kejap.” Kedengaran suara mama yang meminta papa menunggunya.
            Aku menuang air ke dalam cawan putih itu. Kemudian berpura-pura minum air yang sudah aku tuang ke dalam cawan itu. Tidak lama kemudian, tersembullah muka papa dan mama berpegangan tangan. Langkah mereka berdua terhenti seketika.
            “Tak tidur lagi?” soal papa.
            “Belum, haus.”jawabku ringkas.
            “Jangan minum air sejuk banyak sangat. Tengah malam ni. Jangan tidur lewat, esok kita ke office sama-sama.” Pesan papa.
            “Okay.” tanganku menunjukkan tanda setuju. “Night pa, ma. Assalamualaikum.”

“GHAZALI, jom aku belanja kau lunch.” Ajakku.
            “Okey.”
            Sahabat sejati! Itulah kami berdua. Minggu lepas habis makan buku lima masing-masing, sekarang ni pulak jadi sahabat sehidup semati. Aku akui memang kesilapanku juga. Ghazali juga tidak mengambil serius tindakanku itu kerana pemikiranku tidak stabil ketika itu, katanya.
            “Kau pesankan aku macam biasa ye.” Kataku kepada Ghazali.
            Ghazali mengangguk dan terus turun dari kereta. Aku pula mencari parkir kereta yang agak penuh. Mana tidaknya, pasti semua officer keluar lunch waktu-waktu begini. Restoran ini juga merupakan restoran kegemaranku dan tempat pertemuanku dengan Ainnur. Manisnya saat itu jika aku kenang kembali. Wajahnya, tangisnya dan gelak tawanya yang selalu menjadikan hatiku gelisah.
            Wajah Ainnur masih memenuhi segenap ruang di restoran itu. Di sinilah pertama kalinya aku jatuh cinta dengannya. Pertemuan yang tidak aku sangka-sangka kerana telah dirancang oleh Ghazali dan Dahlia. Mereka berpakat untuk mencari jodoh untukku atas arahan papa. Oleh kerana yakin pada kasih yang mula subur pada waktu itu, lantas aku paksa mama dan papa untuk melamarnya malam itu juga. Permintaanku ditunaikan kerana hanya aku insan yang bermakna di hati mereka, hanya aku anak mereka. Ibu bapa Ainnur sudah tidak ada ketika aku menghantar rombongan untuk melamarnya. Mereka bedua meninggal dunia sewaktu umur Ainnur sembilan tahun, Ainnur dan abangnya terpisah kerana Ainnur mengikut keluarga sebelah ibunya dan abangnya mengikut keluarga sebelah ayahnya. Sehingga sekarang aku tidak pernah menatap wajah abangnya begitu juga Ainnur. Setiap malam Ainnur akan menceritakan tentang abangnya itu, teruja juga aku mendengar ceritanya, ingin juga aku menemuinya. Kadang-kadang Ainnur menangis kerana menahan rindu yang bertahun-tahun tinggal di hatinya. Akulah tempatnya meluahkan perasaan, aku juga yang memberinya nasihat walaupun aku juga perlu nasihat.
            Aku mendapatkan Ghazali yang sudah duduk di meja yang terletak di penjuru restoran itu.
            “Dah order?” tanyaku seraya tanganku menarik kerusi untuk duduk.
            “Sudah, bos.”
            “Aku nak mintak tolong kau sikit. Kau bantu aku cari...” kata-kataku terhenti di situ. Tidak dapat aku menyambung kata kerana ada seseorang yang memotongnya.
            “Assalamualaikum.” Kata lelaki yang berdiri dihadapanku itu. Mukanya macam aku kenal.
            “Kau...” salam yang diberinya tidak aku jawab, malah langsung tubuhku berdiri dan jari telunjukku menunjuk kasar ke arahnya.
            Ghazali sudah dapat membaca gerak geriku. Lantas dia berdiri, menahan aku daripada menjadi gila lagi. Tanganku yang menunjuk kasar itu diturunkannya sambil mengucap perkataan sabar.
            “Sabar dulu encik. Saya tahu encik marahkan saya sebab encik ingat saya ada skandal dengan isteri encik, kan?” kata lelaki itu tenang. Kalau ikutkan hatiku sudah makan penumbuk lelaki ini. isu Ainnur pula diungkitnya. “Bagi saya peluang untuk beritahu keadaan Ainnur, saya tahu encik sedang cari dia, kan?” Entah kenapa setiap kali nama Ainnur aku dengar, pasti hatiku dalam keadaan gelisah. Namun, hatiku berbunga ceria kerana lelaki ini tahu tentang keadaan Ainnur.
            Aku mula duduk, dadaku sudah berkurangan ombak kemarahannya. Aku tahu, hanya dengan cara ini aku boleh bertemu dengan Ainnur. Dengan cara inu juga dapat mengisi kekosongan di hatiku setelah Ainnur meninggalkan aku. Ainnur meninggalkan aku atau aku yang meninggalkan dia? Hati mula berbisik sesama sendiri, menyalahkan diriku sendiri.  Aku sedar, hidupku sukar tanpa kehadiran Ainnur di sisiku. Hanya dia yang memahamiku, dia sanggup mengenepikan segalanya semata-mata untuk memenuhi permintaanku. Selama ini, dialah insan yang panggil sabar menasihati aku tentang agama, dialah yang menyuruh aku ke surau untuk solat. Pakaianku sentiasa disiapkannya tanpa ada cacat sedikit pun di mataku. Dia terlalu istimewa, dia cukup sempurna di mata mungkin tidak di mata orang lain.
            “Saya Doktor Raziman. Isteri encik, Ainnur Syafika selalu datang ke klinik saya.” Ainnur sakit? Kenapa aku tidak tahu? “Begini encik, pihak kami amat memerlukan pantauan penuh daripada encik. Kandungan Ainnur dalam keadaan bahaya. Rahimnya sudah tidak cukup kuat untuk menampung kandungannya.” Jelas Raziman.
            “Ainnur mengandung? Biar betul doktor? Isteri saya tak cakap pun. Doktor salah orang kot.” Aku menyangkal kata-kata Raziman. Mustahil Ainnur berahsia dengan aku. Apa-apa hal pasti aku diberitahunya walaupun perkara remeh. Tidak pernah Ainnur menyembunyikan setiap perkara walaupun kecil daripada aku, inikan pula perkara besar dan saat yang kami tunggu-tunggu ini. tidak mungkin! Aku kenal dengan Ainnur.
            Ghazali sudah tertunduk, aku tahu pasti dia tahu sesuatu. “Ghazali, beritahu aku apa yang kau tahu pasal Ainnur.” Suaraku bergegar. Menahan sebak,terasa seperti orang-orang di sekelilingku mempermainkan aku. Inikah balasan mereka terhadap atas apa yang telah aku lakukan kepada  Ainnur sebelum ini?
“Ainnur mengandung anak kau masa kau mabuk hari tu.” Ghazali membuka kisah yang amat pahit untukku. “Aku nak bagitau kau, tapi kau mabuk, habis semua orang kau herdik. Kau langsung tak bagi peluang untuk Ainnur beritahu kau pasal berita ni. Aku tak sampai hati tengok dia sakit macam tu, dia meracau sebut-sebut nama kau. Puas dia nangis, mengharap sangat kau datang.” Ternyata Ghazali juga berahsia dengan aku sedangkan dia tahu betapa sengsaranya aku mencari Ainnur selama ini.
Aku mula menggepal tumbukan di tangan kananku.
“Sebab tulah aku datang awal pagi hari tu, sebab nak penuhkan permintaan isteri kau tu aje. Dia nak sangat jumpa kau, nak bagitau kau pasal benda ni aje kat hospital. Dia tak kesah kau nak ceraikan dia, tapi dia nak kau tahu dia tengah kandungkan anak kau. Anak kau dalam perut dia, Zeck. Aku nak bagitau kau, kau terus bagi aku penumbuk kau tu. Kau suka bertindak ikut suka kau aje.” Ghazali sudah membuka segala-galanya. Cukup berdarah hati aku mendengar apa semua yang dihadangkan kepadaku dalam masa yang singkat ini. “Seminggu dia tunggu kau, seminggu juga dia menangis tak berhenti. Dia larang Dahlia, Datin dengan Dato’ temankan dia kat hospital sebab dia hanya nak kau seorang aje duduk sebelah dia masa tu. Tapi aku tanya kau ada kau datang? Tak ada, kan? Kau tau tak betapa gembiranya dia dapat tahu kau ambil cuti hari tu? Sepenuh hati dia sangka kau nak jaga dia sepanjang cuti tu? Tapi, nasi sudah jadi bubur, dia tetap sendiri kat sana.” Cerita sebenar menunjukkan rupanya, perasaanku berbaur. Prasangkaku selama ini mula mengejek-ngejek ku di ruang mata hati.
Makanan yang dipesan tadi langsung tidak aku endahkan. Air mataku yang membentuk empangan itu mula pecah, melimpah-limpah meninggalkan kelopak mata. Pelayan restoran itu juga agak hairan melihat aku, mata-mata yang ada di restoran itu juga tidak aku pedulikan.
“Lepas aje di keluar hospital, dia bekeras tak mahu ikut Dato’ dengan Datin balik rumah. Dia kata dia nak bersendirian. Dia kata kau mungkin sudah tidak perlukan dia. Jadi dia nak bina hidup baru, dia nak kumpul kekuatan untuk berhadapan dengan tuntutan cerai daripada kau. Dia redha apa yang terjadi dengan dirinya. Kau mesti tahu, susah untuk cari isteri sebaik Ainnur tu. Apa yang kau buat dengan dia, kau sepak terajang dia malam tu sampai buat dia hampir gugur. Dia tetap sayangkan kau, dia tetap tunggu kau malah dia langsung tidak salahkan kau langsung. Aku mintak maaflah kalau kata-kata aku mengguris hati kau, tapi kau kena tahu yang kau tu...”
“Bodoh?” aku memintas kata-kata Ghazali. “Aku tahu aku bodoh, jadi kau tahu mana Ainnur? Doktor tahu mana dia?” tanyaku penuh pengharapan. Betul-betul ingin bertemu dengan Ainnur.
“Maaf, saya tak tahu. Tapi seminggu sekali Ainnur akan datang ke klinik saya. Kalau boleh saya nak nombor telefon encik untuk memudahkan lagi misi encik., sebab Ainnur sekarang ni muram aje. Tapi kandungan dia, dia tetap jaga.” Raziman mula memberikan aku sinar harapan. Aku menghulurkan kadku kepada Raziman.
Hatiku lega sedikit dengan kesudian Raziman untuk membantuku. Hati tetap berharap agar belum terlambat untuk aku bertemu dengan Ainnur. Banyak aku berhutang padanya. Dan satu perkara yang pasti, aku tidak akan ceraikan dia melainkan dia yang mendesak aku untuk menceraikannya. Jujur aku katakan, aku masih perlukan dia.


HUJAN turun dengan lebat waktu itu. Mujur hari itu hari ahad, mudah sikit untuk aku menjejaki tempat tinggal Ainnur buat sementara waktu ini. Aku belum mendapat panggilan daripada Raziman, katanya dia sudah buat temu janji dengan Ainnur pada minggu hadapan. Waktu itu terlalu lama untukku harus menunggu, sudah menderita yang amat batinku ini.
            Aku menepuk dahiku sendiri. “Ya Allah! Kenapa aku tak mintak nombor telefon Ainnur aje dari Raziman, kan senang.” Kataku sendirian dalam kereta itu.
            Nombor telefon Ainnur yang dulu sudah tidak digunanya lagi. Sudah ratusan kali aku menghubunginya, sekali pun tidak berangkat. Tanganku terus mencapai earphone yang sudah tersambung dengan telefon milikku. Nombor Raziman aku dail dan aku menanti penuh sabar dicorong earphone. Percubaan kali pertamaku tidak berjaya, lantas aku menccuba lagi untuk kali kedua. Dalam penantian itu, hatiku berdetik sendirian untuk pergi ke Taman Melati. Entah kenapa kuat hatiku mengatakan Ainnur ada di situ. Cubaanku kali kedua juga tidak dapat. Aku menarik ganas earphone yang masih terlekat di telinga. Mungkin Raziman masih tidur waktu-waktu begini. Jam baru menunjukkan waktu lapan empat puluh minit pagi. Sah! ‘Memang tengah berdengkurlah doktor sorang ni kat atas katil’.
            Setelah dua lorong aku masuki, aku sudah berputus asa. Entah kenapa aku terlalu mengikut kata hati yang langsung tidak ada kebenarannya. Setelah lima minit menghentikan keretaku di bahu jalan, aku meneruskan perjalanan mencari makanan. Terasa lapar pula, awal pagi selepas subuh sudah keluar menyatakan hasrat hati yang tercari-cari Ainnur dalam kerinduan.
            Hujan turun dengan lebat pagi itu mebuatkan aku yang berada dalam kereta itu turut kesejukan tahap beku. Penghawa dingin kereta itu sudah cukup aku kecilkan, tidak tahan dengan kesejukan kerana aku hanya memakai baju lengan pendek.
            Aku memberhentikan lagi sekali keretaku ketika aku melihat sebuah kereta sudah terpacak di pinggir jalan. Kereta rosak ke? Tanganku mencapai payung di belakang keretaku, mujur ada. Aku membuka pintu keretaku dan payung itu.
            Tempias hujan mulai mengena bajuku. Kesejukan masih aku rasa kini. Aku pergi menapak laju ke arah kereta itu, macam pernah juga aku lihat. Argh... inikan masa hujan, mungkin saja aku salah lihat. Aku mengetuk cermin kereta itu. Pemandunya membuka sedikit cermin keretanya, seorang perempuan. Dia hanya membuka sedikit tingkapnya, mungkin kerana takut terkena tempias hujan yang masih menunjukkan kegarangannya pagi itu. Seram juga aku ketika hujan itu silih berganti dengan bunyi guruh.
            Keretanya rosak, tidak mungkin untuk membaikinya dalam keadaan hujan begini. Pastinya akan memburukkan keadaan. Aku mengajak wanita itu dengan kawannya untuk naik ke keretaku, aku hanya ingin bantu mereka pulang.
            Perempuan itu berbisik-bisik dengan kawannya di duduk di sebelah tempat duduk penumpang hadapan. Mesti menimbang-nimbang cadanganku itu.
            “Jangan risaulah. Saya nak bantu aje, lagipun hujan ni takkan nak tunggu kat dalam kereta ni? Saya hantarkan pulang aje, bukan nak buat apa-apa yang tak baik pun.” Kataku, cuba meyakinkan mereka. Aku ikhlas ingin membantu mereka, tetapi mereka seolah mencurigai aku.
            “Nak ke tak? Kalau nak saya ambilkan payung dari kereta saya dulu, kebetulan tinggal satu.” Aku masih lagi dengan kesungguhanku. Tidak sampai hatiku untuk membiarkan mereka berdua kesejukan di situ.
            “Okeylah encik. Mintak maaflah menyusahkan aje.” Kata wanita yang bertudung hijau itu. Manis senyumannya. Aku membalas senyumannya.
            Aku menghayun langkah berlari-lari anak ke keretaku, untuk mengambil payung yang masih berbaki satu itu. Selepas itu aku kembali ke kereta wanita itu dan memberinya payung. Aku mengatur langkah perlahan-lahan, di hadapan meninggalkan mereka.
            Aku memusingkan badanku melihat mereka, lambat sangat berjalan. Payung yang aku genggam itu terjatuh mengenai tanah. Aku mengecilkan mataku yang mulai dikaburi air hujan. Ini kebenaran atau sekadar ilusi yang bermain di mata hatiku?
            Kakiku menapak sedikit demi sedikit mendekatkan diri dengan kawan wanita tadi. Aku yakin itu Ainnur, Ainnur Syafika yang aku rindui selama ini!
            Tubuh kecil Ainnur terus aku peluk membuatkan payungnya turut terlepas dari genggaman. Dapat aku dengan tangisannya di bahu kananku. Ainnur tidak membalas pelukanku yang erat itu, malah terus menangis dan menangis. Pipi dan dahinya aku cium menghilangkan rasa rindu yang bertamu. Tanganku mengambil kembali payung biru yang terlepas dari genggaman Ainnur. Tidak pasal-pasal dirinya kebasahan.
            Pang! Satu hentakkan kuat aku terima di belakangku. Aku memalingkan mukaku, tertanya mengapa aku menjadi mangsa pukulnya?
            “Kak, dia suami Ain.” Kata Ain tiba-tiba dalam esak tangisnya.
            Terlopong mulut wanita itu. “Akak tak sengaja, maaf.” Tutur wanita itu.
            “Jom jalan. Dah hujan lebat ni.” Kataku.
            Wanita itu terus pergi ke keretaku. Tangan Ainnur aku pimpin walaupun dia kerap ingin melepaskannya dari terus berada dalam genggamanku. Aku tidak akan mengalah. Aku memang layak di marah dan di bencinya, tetapi sekarang sudah aku sesali perbuatan dan tindakan bodohku itu.  Siapa sangka rinduku terubat dalam waktu pagi yang di temani hujan ini? usahaku tidak sia-sia, kata hatiku juga tidak berbohong kali ini.
            Pintu hadapan aku bukakan untuk permaisuriku, Ainnur. Dia hanya menurut dengan paksaanku. Sungguh aku berjanji tidak akan menyakitinya lagi, apatah lagi dalam keadaanya yang sedang mengandung. Setelah pintu kereta depan itu aku tutup, aku beralih pula untuk ke tempat asalku untuk menghantar wanita ini pulang. Ainnur? Mungkin aku akan bawa dia sekali pulang bersamaku ke rumah kami. Payung yang masih terbaring rebah di atas jalan itu aku ambil dan tutupnya. Alang-alang aku sudah kebasahan, jadi tidak perlu lagi berpayung.
            Ainnur langsung tidak berbicara, dia hanya melihat mukaku sesaat dua jika aku panggil. Sahutannya langsung tidak aku dengar ataupun suara hujan dan radio ini yang menengelamkan suaranya. Kadang-kadang tanganku ditolaknya ketika aku ingin menyeka air matanya yang mulai berguguran. Aku tahu Ainnur merajuk, aku sudah cukup masak dengan perangainya. Tidak berubah-ubah dari dulu. Itu yang membuatkan aku rindu padanya. Aku memandu mengikut arah yang di beri oleh wanita yang bernama Ayu itu. Patutlah ayu, nama pun dah Ayu. Setelah puas melingkari pusaran jalan raya.
 Aku akhirnya berhenti betul-betul di hadapan rumah Ayu. Dia tinggal sebumbung dengan suami dan anak-anaknya. Hujan masih turun tetapi tidak selebat tadi. “Ain, ikut abang balik ye?” aku memegang rapat tangan Ainnur sebelum sempat dia melarikan tangannya itu. Aku masih berhak dan masih halal untuk menyentuhnya. Lafaz talak belum aku ucapkan dan itu tidak akan aku ucapkan.
“Maaf, Ain tak nak.” Ainnur menolak. Membuatkan aku hampa seribu.
“Abang tahu Ain marahkan abang, tapi abang dah cukup terseksa kalau Ain tetap buat abang macam ni. Tau tak abang rindu sangat dengan Ain? Papa dengan mama pun rindu dengan Ain.” Ingin saja aku luahkan segalanya.
Ainnur tetap membisu mendengar kata-kataku.
“Apasal diam? Ainnur dah tak sayang abang , kan?” tangannya terlepas dari genggamanku sedikit demi sedikit. Air mataku berjujuran merentasi pipiku, begitu juga Ainnur. “Tak apalah kalau macam tu, abang tahu salah abang jugakkan pukul Ain sampai macam tu sekali. Main tuduh-tuduh Ain ikut suka hati abang aje, kan? Abang tak jaga Ain seminggu kat hospital. Abang tahu itu semua salah abang tapi...” sebak di dada menghalang aku daripada berkata-kata. “Tak bolehkah Ain maafkan abang untuk kali ni aje.” aku betul-betul mengharap.
“Dah lah, Ain jangan nangis. Tak baik untuk baby kita.” Ainnur pantas merenung mataku. Aku hanya tersenyum.
“Doktor Rizwan dah bagitahu. Ain tak boleh gerak banyak-banyak tau. Kalau nak apa-apa call aje abang. Lima minit abang sampai.” Tanganku menyentuh bibirnya, lantas membentuk senyuman padanya.
Tiba-tiba cermin tingkapku di ketuk. Aku memalingkan muka melihat gerangan orang yang mengetuk. Terbeliak biji mataku. Ustaz Darmansyah! Aku membuka pintu keretaku.
“Abang! Lamanya tak jumpa.” kataku sambil bersalaman dengannya.
Begitu lama aku dan Ainnur berada dalam kereta sehinggakan gerimis sudah diambang henti.
Ustaz Darmansyah seperti biasa, tidak pernah lekang dari senyumnya. “Lama jugaklah. Kamu ada apa dengan Ainnur tu sampai cium-cium dahi bagai?” tanya Ustaz Darmansyah penuh serius.
Apa kaitan pula Ustaz Darmansyah dengan Ainnur?
“Dialah isteri saya, bang.” Jawabku penuh ketenangan diisi dengan keraguan yang amat.
“Isteri?” terlopong juga mulut ustaz Darmansyah, sama seperti wanita tadi.
“Ya, dia isteri saya yang saya ceritakan hari tu. Kenapa abang kenal dengan dia ke? Abang bukan duduk Perak ke, apasal abang boleh ada kat sini?” tanyaku.
Ustaz Darmansyah hanya tersengih. “Amboi banyaknya soalan, tak tahu mana satu nak jawab. Masuklah dulu, kita sarapan sekali.” Pelawa Ustaz Darmansyah. Sarapan? Dengan anak bininya? Tidak!
“Tak apalah, bang. Saya kenyang lagi ni.” Bohongku.
“Masuk ajelah. Macam tak biasa pulak.” Ustaz Darmansyah menolakku masuk ke dalam rumahnya. Ainnur sudah hilang. Tidak aku perasan ke mana hilangnya dirinya.
“Segan saya bang dengan anak isteri abang.” Aku menahan diriku daripada terus ditolak masuk ke dalam rumahnya.
Liat jugak ustaz ni.
“Tak ada apa yang nak disegankan. Kita dah jadi keluarga saya, awak baru aje bantu isteri saya tadi.” Katanya sambil mencekak pinggang. “Cepat masuk. Banyak benda nak kena bincang ni.” Kata Ustaz Darmansyah lagi.
Mahu atau tidak, aku buka langkah juga mengikut Ustaz Darmansyah masuk ke dalam rumahnya. Nampak seperti Kak Ayu sedang menyiapkan makanan di atas meja makan itu.
            “Ain, bawakkan suami kamu ni tuala. Kesian dia habis kuyup.” Laung Ustaz Darmansyah.
            Aku pelik. Ainnur tidur serumah dengan Ustaz Darmansyah? Biar betul? Aku ingatkan tadi Ainnur jiran Kak Ayu.
            “Nanti abang ceritakan pada kamu. Kita makan dulu.” Ustaz Darmansyah mula membahasakan dirinya sebagai ‘abang’.
            “Abang ni...” tidak sanggup aku meneruskan kata. “Abang ni abang Ain lah?” tanyaku dalam keadaan bingung. Ustaz Darmansyah senyum seraya mengangguk.
            Aku turut tersenyum sambil mengambil kembali tangan Ustaz Darmansyah, aku salam dan aku kucup pula kali ini. kemudian aku peluk Ustaz Darmansyah. Dapat aku rasakan kasih seorang abang itu. “Abang, jagakan Ain, ye.” Pintaku. Ustaz Darmansyah hanya tersenyum mendengar permintaanku itu.
            “Kenapa tak jaga sendiri? Dia isteri kamu, kan?”
            Soalan yang baru menerjah gegendang telinga memang membuatkan aku bungkam. Lidahku menjadi kelu dan keras serta-merta. Tidak dapat menjawab soalan itu. Sudahnya, aku hanya tertunduk memandang lantai. Tidak memikirkan apa-apa kerana aku tahu apa jua sekalipun caraku, aku tidak akan diterima oleh Ainnur lagi.
Patutlah Ainnur tidak mahu pulang bersamaku, dia sudah berjumpa dengan orang yang boleh membahagiakannya, orang yang sentiasa dirinduinya dan di sayanginya. Tapi, sungguh cepat dia melupuskan rasa cinta itu hanya kerana dia sudah menemui abang kandungnya yang baru sahaja ditemuinya? Adilkah begitu? Jika itu kehendaknya, melupuskan rasa cinta yang ada, baiklah akan aku cuba untuk menghilangkan rasa cinta yang sentiasa aku bajai dalam hati ini supaya berhenti mengharap rasa cinta yang mungkin tidak akan aku dapat lagi. Biarlah aku berhenti daripada kehausan menagih cinta yang sudah dia lupuskan dari hatinya. Biarlah aku menghentikan tangisan mata hati ini. andai sudah tidak ada jodoh, aku relakan juga dia pergi meninggalkan aku. Aku rela menggenggam kenangan lalu andai semua rasa itu dibuangnya.

PERKARA ini sudah aku agak daripada semalam lagi. Pasti ini natijahnya. Tidak semena-mena aku harus mengambil cuti hari ini kerana demam. Basah dek kehujanan semalam, betul-betul membuatkan kepalaku sakit. Cukup membuatkannya rasa berat dan menyusahkan aku untuk bergerak bebas. Aku yakin sepanjang hari ini aku hanya akan terlantar di atas katil ini. semuanya sudah berada di sebelah katilku. Makanan? Mama sudah menyediakan semuanya di meja sebelah katilku. Biasalah, orang sakit susah mahu makan, tidak ada selera.
            Aku sebenarnya tidak pasti, demam ini kerana kehujanan semalam atau pun kerana kecewa dengan tindakan Ainnur  yang sudah membenamkan rasa cintanya kepadaku jauh ditempat kenangan. Entah kenapa degil juga hati in, masih merindui Ainnur walaupun aku sudah tidak bermakna dalam hidupnya. Sabarlah hati, jangan kau paksa aku lagi, cukup sekali aku sakiti dia. Mama dengan papa belum tahu yang aku sudah bertemu dengan Ainnur. Kalau mereka tahu, sudah kecoh rumah ini. bukan niatku mahu mereka terperap dalam kerinduan, tetapi biarlah aku sahaja yang tertarik dalam api seksaan dengan keputusan Ainnur itu. Tidak sanggup aku melihat mama dan papa menangisi kekecewaan dengan keputusan yang Ainnur buat.
Aku melelapkan mataku, mendapatkan ketenangan selepas makan dua tablet panadol. Mengharapkan Ainnur tidak lagi menghiasi mimpiku.

AKU tidak berdaya mendengar kata-kata papa yang duduk dihadapanku itu. Aku baru sahaja kebah dari demam, baru sihat dan kembali kerja hari ini. kerjaku sudah berat bagai. Hatiku merungut kuat ketika papa memeberitahuku yang aku mesti, wajib dan kena pergi ke Sarawak untuk menghadiri conference di sana. Keluhan demi keluhan keluar dari bibirku yang merah itu.
            Wajah papa aku tatap silih berganti dengan wajah Su, pembantu peribadiku yang akan menemaniku menghadiri conference selama tiga hari itu. Aku menggaru-garu keningku yang tidak gatal itu. Sarawak?
            “Jauh tu, kan senang kalau kat KL ni aje.” Rungutku. Aku sebenarnya malas untuk pergi ke sana, tidak boleh aku berjumpa dengan Ainnur lagi.
            “Kalau dekat-dekat sini aje tak ada lah sampai papa bagi kamu tiket ni.” Papa membalas kata-katakul.
            “Su, kau nak pergi ke?” tanyaku kepada Su. Aku memandang anak matanya yang penuh kegelisahan itu.
            “Saya ikut aje, dah kerja, atas arahan bos takkan saya nak langgar pulak.” Jawabnya penuh ketenangan walaupun aku dapat membaca ombak di hatinya.
            Aku cukup masak dengan perangai perempuan. Aku tahu keadaan mereka, apa yang ada di fikiran mereka. Aku dulu kaki perempuan, semua perempuan yang berkepit dengan aku dua puluh empat jam. Dia orang yang terhegeh-hegeh, aku layan saja. Tapi, sejahil-jahil aku dulu, belum adda wanita yang aku sentuh melainkan Ainnur. Ainnur yang secara tidak langsung menyedarkan bukan semua gila harta, itu yang paling istimewa bagiku yang ada padanya. Semenjak itu langsung tidak ada perempuan yang lekat dengan aku, dan aku sleesa dengannya. Tidak rimas! Tapi rasa bahagia jika aku bersama dengan Ainnur.
            “Okey, orang pergi.” Aku memberi persetujuan membuatkan papa tersenyum puas. “Tapi bukan dengan Su. Dengan orang lain.” Kataku dengan penuh keyakinan.
            Permintaanku membuatkan papa terlopong. Aku tidak kira, kali harus aku lakukan juga. Ini saja caranya untuk aku melupakan Ainnur yang dulu.

AKU sudah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, flightku akan berlepas pada pukul 11.45 pagi, itu bermakna aku hanya ada setengah jam sahaja lagi sebelum berlepas. Aku tidak tahu sama ada Dahlia bijak memainkan peranannya atau tidak. Aku amat berharap padanya, berharap agar dapat memujuk Ainnur untuk datang ke lapangan terbang ini sebelum aku pergi ke Sarawak nanti. Sebenarnya tiket yang menggantikan kepunyaan Su itu atas nama Ainnur, rancanganku untuk membawanya bersama-sama ke sana dan menghabiskan waktu untuk kami berdua. Ya, hanya untuk kami. Aku harus melupakan Ainnur yang dulu, kerana aku harus menerima Ainnur yang baru ini. Ainnur yang amat mencabar jiwa lelakiku. Namun begitu, Su tetap aku suruh datang. Beg juga ada di tangannya. Isi kandungan beg itu hanya pakaian Ainnur. Aku sudah siapkannya semalam dibantu oleh mama. Mama dan papa juga sudah tahu tentang keadaan Ainnur. Puas mereka memaksa aku untuk membawa mereka menemuinya. Tetapi aku tetap menolak, mereka akan bertemu juga hari ini. aku tidak menggunakan khidmat mama untuk memujuk Ainnur kerana aku tahu Ainnur akan cairkan hatinya melihat air mata seorang ibu, lantas aku meminta Dahlia yang menjalankan misi ini.
            Rasa resah menjenguk tiba. Begitu lama Dahlia mengambil masa untuk memujuk Ainnur. Ainnur benar-benar sudah berubah!
            “Pa, ma orang masuk dulu. Kang tinggal flight pulak.” Aku meminta izin daripada mereka berdua.
            “Ain?” tanya papa.
            “Ain tak nak lah tu. Biar ajelah. Kalau mama dengan papa nak jumpa dia, nanti mintak Dahllia hantarkan aje, dia tahu kat mana Ain tinggal sekarang.” Kataku penuh dengan nada hampa. Sememangnya aku hampa, sampai hati Ainnur membiarkan aku pergi bersendirian.
            “Ish kamu ni.. Papa kata itu Ain, kan?” papa  menjuihkan bibirnya ke arah belakangku.
            Ainnur  datang? Aku bagai dalam mimpi melihat kedatangan Ainnur, cumanya dia menangis. Lantas, aku dapatkan tubuh kecil itu, aku dakap dalam.
            “Abang.. jahat!” kata Ainnur yang meleraikan pelukanku.
            Dahiku berkerut beribu. Aku terpukul dengan kata-kata itu. Sememangnya aku jahat, tapi itu dulu. Zaman jahiliyahku dahulu, bukan sekarang.
            “Sampai hati abang kahwin tak jemput Ain. Sekarang ni honeymoon dengan perempuan tu, kan?” tangisnya makin kuat, sendunya turut hadir.
            “Apa yang Ain merepek ni?” soalku tidak puas hati. Tiba-tiba sahaja aku dituduh sebegitu.
            “Dahlia kata abang kahwin, sekarang ni abang nak pergi honeymoon. Abang jahat tau tak.” Gedung tawaku mula pecah.
            ‘Bijak kau tarik dia Dahlia.’ Pujiku dalam hati. “Dahlia bohong aje tu. Isteri orang tu, takkan abang nak kacau. Gila apa?” aku membuka cerita. “Dahlah, cepat salam mama dengan papa, kita dah nak ketinggalan flight ni.”
            “Flight? Kita?”
            “Ya puan adik manis. Kita nak ke Sarawak ni. Ain kena temankan abang kat sana. Jom.” Aku menarik tangan Ainnur untuk bertemu dengan papa dan mama. Aku biarkan mereka melayan perasaan masing-masing.

JEJARI Ainnur aku genggam kuat, tidak ingin kehilangannya lagi buat kali kedua. Sudah cukup apa yang aku lalui dengan duri derita yang amat dahsyat aku terima. Sudah cukup merana ditanggung hati ini. sudah, itu semua harus berakhir, biarlah bungan bahagia pula yang muncul.
            “Abang, perempuan tadi tu siapa?” Ainnur bertanya tiba-tiba. Mukanya memandang aku, penuh dengan jawapan.
            “PA abang. Kenapa? Cemburu?” aku menarik manja hidung Ainnur.
            “Mana ada!” bidasnya laju.
            “Jadi, Airin betul-betul percaya ke dengan cakap Dahlia tadi?” soalku.
            “Mestilah Ain percaya. Sebab Dahlia nangis-nangis pujuk Ain suruh halang abang. Abang Syah pun suruh Ain buat macam tu.” Ainnnur meluahkan rasa. Terharu aku mendengarnya.
            Aku ketawa kecil. Dahinya aku cium, lama. “Kalau abang nak kahwin lagi, Ain benarkan tak?” soalku, nakal. Saja ingin menguji kasihnya kepadaku.
            “Nak ni?” penumbuknya yang kecil itu ditunjukkan kepadaku membuatkan aku ketawa kecil. Tidak berani aku ketawa kuat, takut mengganggu penumpang kapal terbang yang lain. Tidak pasal-pasal kena marah dengan pramugari.
            Ain menjatuhkan kepalanya dibahuku. Terasa bahagia benar-benar menyapa. Aku membelai dan mengelus mukanya penuh kasih. Rasa cinta itu makin kuat dihatiku. Ingin saja aku membiarkan masa berlalu dengan lewat. Membiarkan aku menikmati kebahagiaan ini sepuas-puasnya.
            Kapal terbang yang kami naiki tiba-tiba sahaja bergegar lebih kuat daripada biasa. Ainnur terus terjaga daripada tidurnya. Terpinga-pinga dia, begitu juga aku. Semua penumpang kelihatan ketakutan, esak tangis budak kecil turut kedengaran. Suasana makin haru-biru dengan keadaaan pramugari berlari-lari anak pergi ke dek kapal terbang. Ini mesti ada masalah.
            “Assalamualaikum  dan salam sejahtera, saya Kapten Zainal. Mohon perhatian, kapal terbang kita menghadapi masalah enjin terbakar. Diharap agar semua penumpang berada dalam keadaan bertenang. Semua penumpang diminta untuk memasang dan mengetatkan tali pinggang keledar anda.”
            Ainnur sudah merembeskan semula air matanya yang sudah berhenti dilapangan terbang tadi. Aku dapat rasakan keresahan yang bertandang dihatinya. Ainnur sudah memeluk tubuhku, dia menggigigl ketakutan. Aku membalas pelukannya itu, erat. Aku membenamkan mukanya di dadaku. Biar dia menangis di situ. Air mataku turut keluar dari kelopak mata, bukan kerana takut tetapi aku rasa sedih melihat Ainnur begitu.
            “Sabar, kita selamat. Berdoa aje.” Bisikku kepada Ainnur. Belakangnya aku gosok lembut.
            “Mohon perhatian sekali lagi, kapal kita akan membuat pendaratan kecemasan di Laut China Selatan. Diminta semua penumpang memakai jaket keselamatan yang ada di bawah tempat duduk masing-masing. Minta bantuan daripada pramugari sekiranya anda perlukan bantuan.” Kapten Zainal itu membuat pengumuman kedua, yang mencemaskan semua penumpang. Pelbagai jeritan yang membingitkan mula mengisi suasana. Esak tangisan berselang seli dengan sendu ketakutan. Ainnur masih menggigil.
            Setelah aku memasangkan jaket keselamatan itu pada tubuh Ainnur, aku mula memasangkannya pada badanku. Pendaratan kecemasan atas laut ini akan dilakukan dalam masa lima minit lagi. Hati semua penumpang tidak keruan, masing-masing berada dalam ketakutan. Andai aku berdaya menghalang insiden ini daripada berlaku, akan aku lakukaknnya dari dahulu lagi. Aku baru sahaja mengecap bahagia bersama Ainnur dan anak yang berada dalam rahimnya.Ainnur terus menyambar lengan kiriku.
            “Abang, anak kita bang.” Kata Ainnur dalam esaknya.
            Aku hanya mampu menangis mendengar kata-katanya. Itu juga yang bermain di fikiranku.
            ‘Kasihan anakku, tidak sempat melihat dunia.’
            “Ain, abang mintak maaf, abang tak jaga Ain baik-baik selama ini.” pohonku.
            Tangisnya makin kuat. “Ain pun nak mintak maaf, Ain banyak buat slah dengan abang.” Aku memeluknya erat.
            Hemtaman kuat berlaku di hadapan kapal terbang. Itu bermakna, kapal ini sudah terhempas. Tidak sempat melakukan pendaratan kecemasan. Aku dan Ainnur masih berpelukan, malah makin kami eratkan. Aku tahu inilah saatnya untuk aku pergi menghadap Ilahi. Aku mengucup dahi Ainnur buat kali terakhirnya. Ruang kapal terbang sudah dipenuhi air. Kaca tingkap disebelahku sudah pecah akibat hentakan kuat dengan air laut. Air mata yang berjujuran sudah tidak dapat dibezakan lagi dengan air laut. Semuanya bagai begitu pantas berlaku. ‘Selamat tinggal mama, papa, abang Syah, Kak Ayu, Arina...’ tidak sempat aku menyambung kata-kata hatiku yang berakhir dengan nama anak saudaraku, diriku bagai dihempap batuan keras. Sakit yang amat aku rasakan, semuanya yang kabur kini menjadi gelap. Langsung tidak ada apa-apa warna. Tubuhku langsung tidak bermaya.

TAMAT

-9.31 a.m-
-10 Jun 2012-

p/s: ini saja yang termampu aku lakukan.. moga menarik minat kalian.. sorry late sejam stgh untuk publish.. skrg nak bersiap, pergi Batu 10 ada family event.. WALLAHU ‘ALAM.. الي القاء! 

3 ulasan:

perisai ketenangan berkata...

whoaaa!! mati dua2? alhamdulillah..eh! tiga...huhu bgusla tu..smpt berbaik...alhamdulillah..sdar juga ko ya..tp asal aku xrsa pa2 ni? heheh...good job!

Unknown berkata...

apasal flight dy ada pramugari je? Guna la istilah ank2 kpl.. Sdp ckit ak bc.. Btw, good job.. Thbur la jga, tp x ble feel sdih.. Ndak taw knp.. :)

Mr M.S.A.S berkata...

adoi..
khus: thnx
khus n aman: sorry.. aq pun x feel sbnrnya... aq kelam kabut sbb abah q kata maw jln da.. part dy skit tu aq maw buat smethng.. tp x jd.. :)